DAP Queen's counsel Najib Razak UK SRC International Sdn Bhd appeal Federal Court
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak seharusnya menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown selagi jumlah  pesakit Covid-19 yang mendapat rawatan di hospital dan bilangan kematian terkawal.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, lockdown boleh dilaksanakan hanya sekiranya keadaan menjadi kritikal dan ia perlu dilakukan dalam tempoh tidak lebih tujuh hari.

Tambah Najib, lockdown itu tidak sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara sebaliknya dilakukan secara bersasar iaitu pada peringkat negeri dan daerah sahaja.

“Yang paling penting ialah kadar penggunaan katil hospital, jumlah pesakit Covid dalam wad ICU serta jumlah kematian Covid yang masih pada tahap yang rendah kebelakangan ini berbanding dahulu.

“Selagi ianya pada paras terkawal, kerajaan tidak patut melaksanakan lockdown.

“Namun sekiranya kadar penggunaan hospital dan ICU pada tahap kritikal, kerajaan boleh pertimbangkan lockdown amat ketat dan singkat yang tidak boleh melebihi tujuh hari sebagai langkah “pemutus litar” pada peringkat negeri atau daerah untuk meredakan keadaan buat seketika,” kata Najib.

Beliau mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 yang dicatatkan sebanyak 9,117 kes semalam iaitu tiga kali ganda berbanding kadar purata 3,000 hingga 4,000 pada Disember lepas.

Kes Covid-19 meningkat kepada 10,089 kes hari ini.

Menurut Najib, negara jiran seperti Indonesia dan Singapura turut mencatatkan peningkatan kes baharu yang tinggi.

Semalam Indonesia mengumumkan 32,211 kes dengan 432 kematian manakala Singapura pula mencatatkan 13,208 kes dan enam kematian.

“Biarpun kes baharu melonjak berpuluh kali ganda, negara-negara jiran tidak melaksanakan apa-apa langkah lockdown atau sekatan baharu.

“Sebaliknya banyak negara-negara lain sedang melonggarkan lagi atau menghapuskan sepenuhnya sekatan Covid biarpun kes baharu ketika ini sedang cecah rekod tertinggi.

“Ini kerana situasi Covid ketika ini sudah jauh berbeza berbanding masa Covid bermula susulan kadar vaksinasi dunia yang tinggi serta kemunculan varian Omicron yang jauh lebih mudah berjangkit tetapi tidak gejala kurang serius berbanding varian-vairan lain yang telah ganti varian-varian lain untuk menjadi dominan,” katanya.

Tambah Najib, seluruh dunia turut mencatatkan pertambahan kes iaitu empat kali ganda berbanding paras tertinggi pada 2021.

Bagaimanapun kadar kematian pula semakin menurun ke paras paling rendah iaitu 10 kali ganda berbanding paras tertinggi.

“Negara-negara dalam dunia juga mula sedar bahawa mereka tidak mampu lagi membuat lockdown berpanjangan sebab kesan negatif pada kehidupan Rakyat dan ekonomi negara adalah jauh lebih besar.

“Pakar-pakar juga meramalkan bahawa ianya amat susah untuk mengelak dijangkit varian Omicron sebab varian ini adalah terlalu mudah berjangkit biarpun gejala-gejalanya biasanya tidak wujud atau ringan berbanding varian-varian sebelum ini,” katanya.

Namun menurut Najib, biar pun, kadar kemasukan hospital dan kematian telah jatuh mendadak kebimbangan yang tercetus ialah jumlah kes akan melonjak terlalu tinggi pada masa yang terlalu singkat sehingga memberi tekanan kepada sistem kesihatan.

Sementara itu Najib jugu berkata, apa yang lebih penting adalah rakyat tidak terlebih risau atau kurang selesa untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Johor pada ketika ini.- MalaysiaGazette