Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegur pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) agar menjadi anak muda yang berprinsip dan berintegriti.

Ketuanya, Akmal Nasir menegaskan, sebagai sayap parti PKR, mereka muak dengan politik adu domba.

“Jadilah anak muda yang berprinsip dan berintegriti. Muaklah politik adu domba. Nak serang, seranglah musuh, tegasnya menerusi ciapan Twitternya, semalam.

Ciapan itu difahamkan dituju kepada Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membuat posting merendahkan tugas dan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Gopalakrishnan Subramaniam.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan mengadu kepimpinan di kawasan berkenaan tidak mengambil endah mengenai kebajikan rakyat.

Beliau dilaporkan membuat posting terhadap ADUN berkenaan dengan kata-kata, “Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang.

“Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai. Tak bertanggungjawab,” katanya.

Syed Saddiq kemudian menyedari hantaran itu mengguris hati pimpinan PKR, terus pada masa sama membuat permohonan maafnya dengan menjelaskan, (parti) Muda tidak sempurna, begitu juga dirinya.

Tambah beliau, sesi melawat dan bertemu rakyat di Ulu Tiram adalah satu proses untuk beliau dan Muda belajar lebih banyak mengenai kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette