Tengku Razaleigh Hamzah ketika berucap pada Forum Perpaduan Majlis Perundangan Muhibbah Pulau Pinang di USM hari ini.

GEORGE TOWN –  Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah tidak menafikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin menjadi penanda aras buat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan, tiada parti yang dilihat akan mendapat majoriti mudah pada PRU-15 sebaliknya negara akan berdepan situasi berlakunya kerajaan campuran.

“Kalau kita menang dengan baik di Johor ia tidak bererti kita terjamin mendapat majoriti yang kuat dalam Parlimen sekiranya diadakan PRU-15.

Tengku Razaleigh.

“Kita terpaksa kena berkongsi kuasa yang mana kita kena pakat dengan parti-parti yang sanggup bekerjasama dengan kita.

“Dalam masa sama, parti-parti itu kita letakkan syarat mereka tidak boleh bertentangan dengan UMNO sebagai mana Perhimpunan Agung UMNO telah menentukan tiada kerjasama dengan Bersatu, Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Forum Perpaduan 2022 sempena Sambutan Ulangtahun-19 Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, PRU-15 perlu diadakan terlebih dahulu berbanding pemilihan UMNO bagi rakyat menentukan mandat yang jelas sekali gus menghentikan ketidakstabilan politik negara.

“Kalau kita lihat sekarang tiada ketentuan dalam negara yang mana tiga kali kerajaan bertukar dalam tempoh dua tahun sedangkan kos sara hidup kian meningkat.

“Negara berduit tak kisah inflasi tapi kita hutang banyak iaitu lebih 1.3 trilion jadi di mana kita nak pinjam untuk selesaikan beberapa krisis yang sedang melanda negara.

“Pemilihan UMNO boleh dibuat bila-bila masa. Kita nak selesaikan soal rakyat dulu, kehidupan rakyat mesti dibela jadi saya setuju PRU dilakukan dulu,” katanya. – MalaysiaGazette