KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) meningkat 0.5 peratus untuk suku tahun keempat 2021 kepada 110.7 berbanding 110.1 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (1.5%) dan pengangkutan (0.7%).

Kenaikan indeks restoran & aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (1.8%) mendorong kepada kenaikan indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman.

Susulan penarikan semula sekatan perjalanan dan pembukaan sektor pelancongan yang berkuat kuasa pada pertengahan September 2021 juga mempengaruhi peningkatan bagi subsektor ini.

Bagi subsektor pengangkutan, kenaikan ini didorong terutamanya oleh harga yang lebih tinggi dalam pengangkutan muatan melalui jalan raya (1.2%) dan pengangkutan penumpang udara (0.8%).

Subsektor yang lain juga merekodkan kenaikan iaitu aktiviti hartanah (0.6%), pendidikan (0.5%), kesihatan (0.2%) dan profesional (0.1%).

Bagaimanapun, indeks bagi subsektor kesenian, hiburan & rekreasi menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus manakala indeks maklumat & komunikasi kekal tidak berubah.

Secara keseluruhan pada tahun 2021, IHPRP meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada 2020.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus.

Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor pengangkutan (0.8%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.7%) dan aktiviti hartanah (0.2%).

Kenaikan dalam subsektor pengangkutan disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan penumpang udara yang mana meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding 1.0 peratus yang direkodkan pada suku ketiga 2021.

Indeks bagi subsektor profesional, pendidikan dan kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

Namun begitu, indeks bagi kesenian, hiburan & rekreasi mencatatkan penurunan sebanyak 2.2 peratus disebabkan oleh penurunan aktiviti perjudian dan pertaruhan, manakala indeks bagi subsektor maklumat & komunikasi kekal tidak berubah. – MalaysiaGazette