Ahmad Fadzil Abdul Majid

SHAH ALAM – Jabatan Perhutanan Selangor menafikan dakwaan terdapat penjualan tanah Hutan Simpanan Kekal (HSK) secara atas talian di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid menegaskan, pihaknya mengesan dakwaan itu yang dikeluarkan beberapa NGO alam sekitar baru-baru ini.

Kata beliau, kenyataan itu dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai Rimba Disclosure Project (RDP).

“Menurut kajian itu, mereka telah mengenal pasti seluas 43,539 hektar tanah dalam HSK di sekitar Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan cuba dijual secara komersial melalui beberapa laman web termasuk Facebook sepanjang 2021.

“Daripada keluasan itu, hanya 264 hektar dikatakan tanah HSK dalam Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Jelas Ahmad Fadzil, berdasarkan semakan, jabatan itu mendapati lokasi yang dimaksudkan oleh RDP untuk penjualan tanah berkenaan bukan berstatus HSK yang diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Terdapat dua lokasi di Selangor yang didakwa telah diiklankan melalui laman web untuk dijual iaitu di Pulau Indah (Pulau Lumut) seluas 192 hektar dan Puncak Alam seluas 72 hektar.

Sebaliknya, beliau memaklumkan, keluasan kawasan HSK di Selangor telah berjaya ditingkatkan kepada 250,250.29 hektar pada 2021.

Kejayaan itu adalah hasil komitmen yang tinggi dan berterusan kerajaan Selangor melalui beberapa inisiatif yang dilaksanakan sejak 2010.

“Antaranya, menguatkuasakan dasar pembekuan ke atas pembalakan dalam HSK selama 25 tahun dan meminda Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 pada 2011 untuk mengenakan syarat penyiasatan awam ke atas mana-mana penyahwartaan HSK.

“Selain itu, sebarang penyahwartaan HSK perlu diganti dengan keluasan yang setara nilai atau lebih serta secara serentak. Ini bagi memastikan khazanah ala mini terus terpelihara dengan telus, cekap dan lestari,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai tidak mudah terpedaya ke atas sebarang bentuk tawaran iklan penjualan tanah yang melibatkan kawasan HSK.

Katanya, sebarang kemusykilan atau keraguan boleh menghubungi Jabatan Perhutanan Selangor dengan segera. – MalaysiaGazette