KUALA LUMPUR – Program realiti artis-artis baharu iaitu Big Stage 2022 yang membuka tirai malam tadi dikejutkan dengan kehadiran usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli yang diumumkan sebagai peserta ke-12 program tersebut.
Menyampaikan lagu Biarlah Bulan Bicara pada konsert pertama, Iqbal diberi lima markah sahaja oleh Ajai selaku juri tetap.
Jelas Ajai, nyanyian Iqbal kurang memuaskan dan jika datang ke uji bakat ada kemungkinan tidak dapat.
“Saya bagi lima markah kerana dia bukan tone deaf. Kalau dia datang uji bakat mungkin tak dapat. Ada sesetengah orang tidak boleh menyanyi tapi orang suka. Mungkin dia adalah begitu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri tetap memberikan sebanyak 25 markah serta berharap Iqbal dapat memberikan persembahan lebih baik di minggu hadapan.
Semalam, Iqbal menduduki tangga tercorot apabila hanya menerima markah sebanyak 28.8 peratus sahaja.
Bagaimanapun tiada penyingkiran dilakukan pada minggu pertama.
Namun Iqbal sebelum ini dirahsiakan oleh pihak Astro dan diuar-uarkan sebagai kejutan.
Jejaka berusia 28 tahun itu sebelum ini mencetus kontroversi murahan bersama usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida dengan drama kononnya percintaan tidak menjadi mereka.
Malah Vida juga dilantik Presiden Netizen Big Stage yang menimbulkan rasa tidak puas hati netizen sebagai gimik Astro sebagai teknik pemasaran yang dianggap tidak kena tempat.
Juara ‘Big Stage 2022’ akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu setiap Ahad. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL