KUALA LUMPUR – Warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan penggalak sebelum 1 Mac ini.
Ini kerana mereka akan hilang status lengkap vaksinasi jika tidak berbuat demikian, tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, suntikan penggalak vaksin Covid-19 perlu diambil bagi mengelak jangkitan lebih teruk terutamanya dengan lonjakan kes berkaitan varian Omicron.
“Mulai 1 Mac, sijil vaksinasi digital mereka akan bertukar status daripada kuning kepada putih, bermakna mereka tidak diberi vaksin sepenuhnya.
“Jadi, KKM (Kementerian Kesihatan) meminta supaya individu berusia 60 tahun ke atas segera mendapatkan dos penggalak dan boleh datang secara secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran,” katanya pada sidang media hari ini.
Khairy berkata, risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas dengan sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus daripada 32,034 kematian akibat wabak itu sehingga semalam, membabitkan golongan berkenaan.
Jelasnya, kira-kira satu juta atau 32 peratus warga emas dikenal pasti masih belum mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.
Dalam pada itu Khairy memaklumkan, KKM bersetuju memberi pilihan kepada orang ramai bagi mendapatkan vaksin Sinovac untuk suntikan dos penggalak pelalian Covid-19.
Katanya, ia berikutan seramai 3.5 juta penerima vaksin Sinovac dikenal pasti belum mengambil suntikan dos penggalak Covid-19.
Keputusan itu katanya, dibuat selepas mengambil kira pengambilan dos penggalak daripada apa-apa jenama vaksin adalah lebih baik berbanding langsung tidak mengambil dos berkenaan.
“Saya setuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ada keengganan daripada penerima Sinovac untuk mendapatkan dos penggalak daripada Pfizer-BioNTech,” ujarnya. – MalaysiaGazette