Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan Datuk Zuraida Kamaruddin masih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini belum ada keputusan yang dibuat membabitkan kedudukan menteri Kabinet itu dalam parti.

Malah jelas beliau, Bersatu belum mendapat kenyataan sebenar dari Zuraida berhubung dakwaan ke atas dirinya yang sudah menyertai parti lain.

“Kita belum lagi buat apa-apa keputusan tentang kedudukan beliau walaupun banyak yang agak menyatakan dia sudah menyertai parti lain.

“Tapi sehingga sekarang ini saya tidak dapat lagi kenyataan yang sebenarnya.

“Ringkasnya, dia masih lagi ahli MT dan kalau ada apa-apa perkembangan kita akan buat penilaian tentang bagaimana status di mana bukan sahaja kedudukan dalam MT tetapi jemaah menteri.

“Ini kerana beliau ahli Bersekutu Bersatu dan atas dasar itu kita lantik dia jadi menteri yang dipersetujui Perdana Menteri. Setakat hari ini, tidak lagi ambil apa-apa tindakan ke atasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hormatnya dimaklumkan bahawa Institut Masa Depan Malaysia (MASA) akan menganjurkan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) di sini hari ini.

Muhyiddin diminta menjawab ura-ura Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Ampang yang sudah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp Bersatu dan bakal dipecat.

Ini kerana terdapat dakwaan Zuraida akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada April lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast