DAP Sarawak state election polls candidates PRN
Gambar Hiasan

MUAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bantayan yang asal iaitu Ng Yak Howe  bersedia untuk menolak tawaran bertanding oleh DAP sekiranya beliau dipindahkan ke kawasan baharu.

Yak Howe berkata, beliau telah dicadangkan Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong supaya berpindah dari Bantayan ke Jementah atas alasan kekurangan calon sesuai di Jementah.

Katanya, tawaran itu bagaimanapun ditolak kerana dirinya perlu menjaga ahli keluarga di Bantayan yang merupakan tempat asalnya.

“Saya bertanya kepada pengerusi kenapa tidak membenarkan saya bertanding di tempat asal dan melantik orang baharu di Jementah, tetapi pengerusi (Chin Tong) tidak menjawab,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tambah Yak Howe, dengan 75 peratus pengundi Cina, Bantayan merupakan tempat yang lebih selamat dan sesiapa sahaja yang dicalonkan DAP akan menang dengan lebih senang.

Beliau justeru tidak menolak kemungkinan strategi perletakan calon di Johor mempunyai kaitan dengan “faktor kem” iaitu “orang sendiri” diletakkan di tempat selamat.

Sekumpulan ahli DAP juga tidak berpuas hati dengan keadaan itu dan meminta Yak Howe dikekalkan di Bantayan, selain mengkritik tindakan Chin Tong sebagai “membuli.”

Sementara itu, ADUN asal Skudai, Tan Hong Pin mengesahkan dirinya tidak disenaraikan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri di Johor, tetapi ditawarkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Labis semasa pilihan raya umum

Menariknya, sebelum ini, Boo Cheng Hau iaitu “sifu politik” Hong Pin juga ditawarkan untuk melepaskan Skudai untuk bertanding di Labis, tetapi Cheng Hau akhirnya memilih tidak bertanding.

Hong Pin berkata, kerjaya politiknya bermula di Pekan Nanas sebelum beralih ke Mengkibol dan Skudai, tetapi kini diminta ke Labis pula, sekali gus meliputi banyak tempat di Johor. – MalaysiaGazette