KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran negara pada bulan Disember lebih rendah pada 4.2 peratus kepada 687,600 penganggur manakala guna tenaga terus meningkat, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Prestasi ini susulan kebanyakan negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan Disember yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), justeru mendorong kedudukan tenaga buruh untuk pulih secara sederhana.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Disember 2021, penduduk bekerja terus meningkat dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang (November 2021: 15.61 juta orang).

Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1 peratus (November 2021: 66.0%).

Sementara itu, bilangan penganggur terus menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 687,600 orang (November 2021: 694,400 orang) merekodkan kadar pengangguran Disember yang lebih rendah pada 4.2 peratus (November 2021: 4.3%).

Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat kepada 69.0 peratus (November 2021: 68.9 %), iaitu KPTB tertinggi yang direkodkan sejak Januari 2020, dengan bilangan tenaga buruh pada Disember 2021 meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.34 juta orang (November 2021: 16.30 juta orang).

”Situasi ini memberi isyarat bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh, sekali gus mendorong mereka untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Disember 2021, beliau berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur.

Kumpulan ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada 576, 500 orang (November 2021: 581,800 orang).

Penganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 55.9 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 7.6 peratus.

Bagi mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia yang dikategorikan sebagai penganggur tidak aktif, merekodkan penurunan sebanyak 1.3 peratus kepada 111,100 orang (November 2021: 112, 600 orang).

Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun tidak berubah pada kadar 13.7 peratus manakala kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun terus meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 8.5 peratus berbanding 8.2 peratus yang dicatatkan pada November 2021.

Melihat kepada kedudukan pengangguran mengikut negeri, 11 negeri merekodkan penurunan dengan kadar terendah direkodkan oleh Putrajaya (1.6%), diikuti oleh Selangor (2.9%), Melaka (3.1%), Negeri Sembilan (3.1%) dan Pulau Pinang (3.2%).

Sebaliknya, sebelas negeri merekodkan peningkatan dalam KPTB yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. KPTB tertinggi dicatatkan oleh Kuala Lumpur (74.7%), Selangor (74.1%), Pulau Pinang (72.1%), Putrajaya (70.9%) dan Sarawak (70.5%). – MalaysiaGazette