Soffian Santong (tengah) pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.

GEORGE TOWN – Polis mengeluarkan  49 kompaun di sekitar daerah Timur Laut sepanjang Januari lalu atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata,  jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM49,000 itu dikeluarkan menerusi Ops Bersepadu yang dijalankan polis bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan.

Jelas beliau, daripada jumlah itu kesalahan gagal mematuhi penjarakan fizikal paling tinggi direkodkan iaitu sebanyak 27 kompaun dan diikuti dengan tidak mengimbas kod MySejahtera (17), melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan (4) dan tidak memakai pelitup muka (1).

“Sebanyak 167 pemeriksaan dijalankan membabitkan di premis perniagaan dan restoran susulan kes Covid-19 yang kembali menunjukkan peningkatan.

“Umumnya kita mengetahui Pulau Pinang menjadi lokasi  tumpuan orang ramai datang bercuti dan ketika pemeriksaan, didapati masih ada kesalahan serta pelanggaran SOP.

“Hasil pemantauan kita dapati pengusaha premis dan pelanggan masih gagal mengikut SOP yang ditetapkan walaupun norma baharu sudah diamalkan lebih dua tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, orang ramai dinasihati supaya mematuhi SOP terutama ketika berada di Pulau Pinang.

“Polis akan terus bekerjasama dengan agensi lain bagi melakukan pemantauan SOP.

“Peningkatan jangkitan kes Covid-19 di negeri ini agak drastik dan orang ramai dinasihati supaya berwaspada serta tidak leka dalam mematuhi SOP,” kata Soffian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast