Pelancaraan Kedah Rubber City (KRC), taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia akan mengekalkan trajektori pertumbuhan semasa Kedah dan NCER.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya memudahcara pelaburan berjumlah RM26.27 bilion ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berbanding sasaran asal RM16 bilion pada tahun lalu.

Pelaburan itu dijangka mewujudkan 30,573 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.

NCER telah menyumbang 61.4 peratus pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan di Malaysia sehingga suku tahun ketiga tahun lalu daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia dalam tempoh tersebut.

Prestasi dagangan eksport NCER pada suku tahun ertama hingga suku ketiga 2021 juga meningkat sebanyak 20% tahun ke tahun, yang menyumbang 36% daripada eksport negara.

Peningkatan tersebut dipacu oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) dan peranti perubatan, serta produk minyak sawit.

NCER berkata, kadar pengangguran juga kekal di bawah kadar pengangguran nasional pada 4.1% setakat suku ketiga 2021, manakala kadar penyertaan tenaga buruh telah meningkat secara berterusan kepada 67.8% dan dijangka terus menunjukkan aliran peningkatan pada tahun ini.

Katanya, usaha-usaha pemulihan pasca-pandemik di NCER adalah selaras dengan Pelan Pemulihan Nasional Kerajaan dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melalui pendekatan serampang tiga mata, iaitu memudahcara pelaburan swasta, melaksanakan projek-projek strategik utama dan program-program modal insan berteraskan rakyat seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021-2025) dan
Rangka Kerja Strategik Pasca COVID-19.

Projek-projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta ke wilayah ini antara lain merangkumi Kedah Rubber City (KRC), Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Perlis Inland Port, SilverValley Technology Park (SVTP) dan NCER Technology Innovation Centre (NTIC).

Menurutnya, pelaksanaan projek-projek strategik dan pelaburan swasta di NCER adalah berkait rapat dengan program-program modal insan berteraskan rakyat oleh NCIA.

Hampir 68,000 rakyat dari 30 daerah di NCER yang terdiri daripada kumpulan sasar B40, wanita dan Orang Asli telah mendapat manfaat daripada program ini sejak 2019.

Melalui bimbingan NCIA, termasuk dalam pemasaran e-dagang, para peserta program daripada kumpulan B40 telah berjaya menongkah trend dengan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sewaktu pandemik.

Seramai 5,675 rakyat daripada komuniti tempatan kini diperkasakan dengan latihan peningkatan kemahiran dan keusahawanan dan telah berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM71.9 juta melalui program empowerNCER dan JomNiaga@NCER.

Sementara itu, 9,313 graduan dan pekerja yang diberhentikan telah mendapat penempatan pekerjaan dalam pelbagai industri melalui NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan JomKerja@NCER.

Selaras dengan sasaran RMK-12 ke arah sifar miskin tegar menjelang 2025, wanita yang mewakili 20,836 isi rumah kini menerima bantuan kos sara hidup melalui sistem kad tanpa tunai di bawah program Kasih Ibu NCER yang dilaksanakan oleh NCIA di Kedah, Perak dan Perlis.

Di samping itu, kira-kira 9,150 pelajar daripada keluarga B40 mengikuti kelas tuisyen yang disediakan oleh NCIA untuk meningkatkan prestasi akademik mereka serta dibimbing sehingga mendapat penempatan di institusi pengajian tinggi dengan matlamat membasmi kemiskinan masa hadapan.

Sebanyak 16,667 perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut mendapat manfaat daripada skim pembiayaan yang ditawarkan di bawah program entrepreneurNCER melalui kerjasama strategik dengan Maybank dan Agrobank, dengan jumlah pinjaman terkumpul yang diluluskan sebanyak RM223.8 juta, sekali gus memastikan kelangsungan dan kemampanan perniagaan mereka dalam tempoh pasca pandemik.

Seramai 22,500 lagi usahawan mikro, kecil dan sederhana dijangka mendapat manfaat daripada program ini di bawah RMK-12 dengan penglibatan CIMB dan AFFIN Bank sebagai rakan strategik baharu NCIA di bawah program entrepreneurNCER mulai tahun ini.

Sementara itu, Dana Usahawan NCER (DU@NCER) juga telah memberi manfaat kepada 32 syarikat tempatan, yang seterusnya telah mewujudkan 1,582 peluang pekerjaan untuk rakyat. – MalaysiaGazette