Soffian (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Satu sindiket pengedaran dadah terdiri daripada pasangan suami isteri dan rakan mereka berjaya ditumpaskan susulan tiga serbuan di sekitar Air Itam, di sini, pada Ahad lalu.

Dalam tiga serbuan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) merampas lebih 22 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan Methamphetamin 61.5 gram bernilai RM61,847.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 9 malam di sebuah rumah flat di Air Itam yang membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Soffian.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat daripada suspek bekerja sebagai pencuci kereta serta penganggur, polis memeriksa sebuah kereta jenis Proton Waja di parkir flat tersebut sebelum menemui puluhan ketulan mampat ganja yang disembunyikan di bahagian but kereta tersebut.

Kat Soffian, susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah lagi unit kediaman di flat yang sama dan menahan seorang wanita berusia 40 tahun yang juga isteri kepada penganggur tersebut.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif mengedar ganja di sekitar Paya Terubong dan Air Itam.

Ganja yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Air Itam dan Paya Terubong.

“Semakan rekod lampau mendapati pencuci kereta itu mempunyai tujuh rekod membabitkan dadah manakala rakannya pula, empat rekod membabitkan kesalahan yang sama.

“Bagi ujian air kencing pula, kedua-dua suspek lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamin manakala wanita yang bekerja sebagai jurujual itu bebas pengaruh dadah,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, di sini, hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, 23 ketulan mampat ganja, dua botol kaca dan tujuh paket lutsinar berisi ganja, pemetik api, penimbang digital dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah tersebut.

Selain rampasan dadah, pihak polis turut menyita dua buah motosikal dan kereta yang digunakan sindiket dengan jumlah keseluruhan termasuk dadah dianggarkan bernilai RM151,047.

Tambah Soffian, pihak polis kini sedang mengesan abang kepada pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat mendapati rumah pertama yang diserbu itu disewa oleh abang kepada pasangan suami isteri berkenaan manakala kediaman kedua merupakan rumah pusaka peninggalan bapa mereka.

“Ketiga-tiga suspek itu kini direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar Soffian. – MalaysiaGazette