Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyatakan kebimbangannya dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu ini sehingga meningkat kepada lebih 11,000 kes semalam.

Justeru, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengembalikan keutamaan menguatkuasakan SOP sebagai usaha mengekang penularan kes.

Kata beliau, penutupan sektor ekonomi dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan pilihan untuk kerajaan melakukannya bagi pusingan ini.

“Saya melihat, selepas kita berjaya menyelesaikan vaksinasi penuh kepada sebahagian besar komuniti dewasa dan remaja di Selangor, mereka yang perlu dibawa masuk atau tinggal di ICU sangat berkurangan.

“Begitu juga dengan jumlah kematian, juga sangat berbeza.

“Semalam media Selangor ada kemukakan angka kes, yang mana sebelum ini kematian mencecah hampir 200 orang, tetapi hari ini hanya sekitar sembilan orang,” katanya selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara di Ballroom Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, SUK Selangor, di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, jumlah kes positif dan kematian itu menunjukkan keberkesanan selepas rakyat divaksinasi.

“Begitu berkesan sekali vaksin dalam kehidupan kita dan isunya sekarang ialah bagaimana kita hendak mengingatkan rakyat mengenai SOP yang harus dipatuhi.

“Kalau dijangkiti, segera untuk kuarantinkan diri. Kalau berada dalam keadaan kurang baik, segera lapor ke hospital.

“Malah, jumlah katil di hospital juga sangat terkawal berbanding pada September atau Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau yakin dan percaya, vaksinasi itu sedikit sebanyak menjadi pendinding kepada diri.

“Cuma saya bimbang mungkin ada satu dua yang terlibat dengan pensijilan vaksin palsu.

“Sebab itu saya minta KKM menyemak hasil daripada serbuan yang dibuat ke atas beberapa klinik beberapa hari lepas yang didapati menjual sijil vaksinasi palsu,” kata beliau.

Yang jelas, ujar beliau lagi, mereka yang lengkap vaksin dan sudah mendapat suntikan penggalak mampu berada dalam keadaan yang risiko dijangkiti sangat kecil.

“Mungkin ada batuk, selesema atau ada sedikit kesukaran bernafas yang tidak memerlukan bantuan oksigen. Ini menunjukkan vaksin agak berkesan pada majoriti yang mendapatkannya,” katanya. – MalaysiaGazette