MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menjadi tuan rumah majlis anugerah sukan untuk Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) pada 10 Februari ini.

Anugerah Sukan MASUM (ASM) merupakan anjuran MASUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berjaya mengenengahkan bakat-bakat sukan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam dalam negara.

Majlis tersebut dijadualkan berlangsung pada sebelah malam di salah sebuah hotel di Melaka.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, motif penganjuran majlis itu merupakan pengiktirafan pencapaian cemerlang sukan para atlet serta pegawai universiti awam yang telah mengharumkan nama universiti, MASUM dan negara.

Jelasnya beliau, ia juga bagi merealisasikan hasrat warga sukan Universiti Awam bagi menjalankan majlis berprestij yang telah tertangguh selama dua tahun sebelum ini dan UTeM selaku tuan rumah pada kali ini.

Sementara itu, Pengarah Program yang merupakan Pegawai Belia dan Sukan Kanan UTeM, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi berkata, sebanyak 13 pemenang anugerah akan diumumkan, termasuk anugerah olahragawan, olahragawati, tokoh sukan, bintang harapan lelaki dan bintang harapan wanita.

Ujar beliau, ASM 2019 melibatkan 300 orang jemputan yang terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi KPT dan universiti-universiti awam Malaysia.

Dalam pada itu, majlis ASM 2019 bakal dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. – MalaysiaGazette