Wan Rosdy (kanan) menerima borang penyertaan ahli UMNO daripada wakil Srikandi Bersatu Maran di Kuantan, Pahang hari ini.- Gambar FB Wan Rsody.

KUANTAN –  Seramai 32 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran mengambil keputusan menyertai UMNO secara rasmi hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia diketuai oleh Ketua Srikandi Bersatu Maran yang menemuinya bagi menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, saya amat berbesar hati serta menghormati keputusan mereka dan keputusan mereka untuk menyertai UMNO adalah atas kesedaran mereka sendiri.

“Mereka juga menyatakan keyakinan dan kepercayaan bahawa UMNO mampu mentadbir negeri dan negara ini dengan baik,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

Tambah Wan Rosdy, mewakili kerajaan negeri, beliau bersyukur kerana hasil kerja dan fokus pimpinannya dalam memajukan negeri serta membela kebajikan rakyat telah dihargai dan dipandang oleh rakyat.

Ujarnya meskipun ada pihak yang cuba menanam kebencian rakyat kepada kerajaan negeri namun majoriti rakyat masih rasional dan bijak menilai inisiatif serta gerak kerja yang telah dilakukan.

“UMNO adalah sebuah parti yang inklusif. Atas dasar itu, UMNO sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai parti terbesar orang Melayu ini selagi mana mereka ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Kerana UMNO bukan milik sesiapa. UMNO adalah milik bangsa dan ummah,” katanya.- MalaysiaGazette