Rais pada sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka yang turut dihadiri Presiden Melaka Rugby Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di Melaka hari ini.

MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tidak menghalang mana-mana anggota dan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) untuk melakukan pemeriksaan mengejut di semua institusi pendidikan negeri ini sekiranya memenui prosedur ditetapkan.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, JPN sedia bekerjasama bagi memastikan semua pihak termasuk guru dan pelajar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekaligus mengurangkan jumlah kes kluster pendidikan negeri.

Menurutnya, beliau memandang serius dakwaan segelintir pihak mengenai berlaku ketidakpatuhan SOP dalam kalangan guru sekolah termasuk mengaitkan ada guru yang tidak memakai pelitup muka ketika sesi pembelajaran fizikal di dalam kelas.

“Kalau pun ada kes-kes terpencil sebegitu yang tidak berada di bawah pengetahuan saya, yang mana saya harap kepada ibu bapa kalau betul benda itu berlaku boleh terus laporkan kepada JPN atau pihak berwajib.

“…tidak memakai mask (pelitup muka) dalam sesi persekolahan adalah satu kesalahan, lapor terus beritahu sahaja kepada pihak sekolah kerana bagi saya ini tidak perlu disorokkan.

“Pihak JPN mesti boleh ambl tindakan kalau ada…kalau KKM (Kementerian Kesihatan) nak datang periksa tiada halangan boleh dilakukan tapi mestilah dengan ada prosedurnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka yang turut dihadiri Presiden Melaka Rugby Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di sini hari ini.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir ibu bapa mengenai peningkatan kluster pendidikan yang antaranya berpunca daripada sikap kakitangan sekolah termasuk guru yang tidak mematuhi SOP.

Pada 31 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan sesi persekolahan di negeri ini mungkin terpaksa ditangguhkan jika kluster pendidikan negeri yang ketika itu merekodkan seramai 671 guru dan pelajar positif Covid-19 semakin bertambah.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata isu ‘ketirisan’ SOP dalam kalangan guru sekolah tidak sepatutnya timbul terutama dalam waktu yang sukar ini ketika negara berdepan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

“Saya minta dalam waktu yang sukar ini kita mesti bekerjasama yang mana itulah maksud slogan #kitajagakita yang diraikan selama ini dan saya tidak mahu kita ceritakan salah orang itu dan ini.

“Tapi saya beri jaminan, JPN sentiasa beri kerjasama yang baik dan tiada halangan untuk bekerjasama dengan JKNM,” katanya.- MalaysiaGazette