JASIN – Seorang lelaki maut selepas dihempap kotak kaca seberat 5.6 tan di tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Lipat Kajang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, mangsa maut dalam kejadian 8.10 pagi itu dikenali Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, yang juga operator kilang berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam sebuah kontena.

“Mangsa yang masih bujang kemudian dikatakan telah terlanggar kayu penahan menyebabkan kaca seberat 5.6 tan menghempapnya.

“Mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di seluruh anggota badan akibat terkena serpihan kaca yang menghempapnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Tambahnya, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat

“Pengecaman mayat juga telah dibuat oleh bapa mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor

“Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR), bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – malaysiaGazette