Tangkap layar menunjukkan kanak-kanak itu ditinggalkan tanpa penjagaan berniaga sayur di hadapan bank di sebuah kompleks beli-belah di Sungai Petani, Kedah.

SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang wanita yang positif dadah dan membiarkan dua anaknya tanpa penjagaan di hadapan bank di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Kampung Baru di sini semalam.

Ia susulan satu video tular menunjukkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan adiknya lelaki berusia setahun enam bulan itu dibiarkan berniaga sayur-sayuran tanpa sebarang penjagaan orang dewasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya ke lokasi kejadian pada pukul 6.30 petang bagi melakukan pemeriksaan.

Jelas beliau, pihaknya menemui dua beradik itu bersama ibu mereka berusia 39 tahun yang juga ibu tunggal.

Wanita itu memberi alasan tinggalkan anak untuk masukkan duit di bank.

“Hasil soal siasat wanita berasal dari Sik itu mendakwa tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya menjual sayur demi kelangsungan hidup.

“Selain itu, dia juga mendakwa meninggalkan dua beranak itu dalam tempoh singkat di hadapan bank tersebut kerana mahu memasukkan sejumlah wang di bank.

“Susulan itu, kita membawa wanita terbabit dan dua anaknya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Anuar, hasil ujian air kencing ke atas wanita itu didapati positif dadah jenis methamphetamin selain semakan juga mendapati dia mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala  dua anaknya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette