Pengerusi Suruhanjya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bercakap pada sidang media mengenai tarikh Penamaan Calon dah Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri DUN Melaka ke-15 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bharu. Foto AFFAN FAUZI, 09 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 pada 12 Mac ini manakala hari penamaan calon pada 26 Februari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh mengundian awal ditetapkan pada 8 Mac ini.

Katanya, seramai 56 pegawai pengurus dan 186 penolong pegawai pengurus akan bertugas pada PRN itu.

“Manakala bagi tujuan memantau seperti aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR juga akan menubuhkan 56 pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya ( PP-KPR).

“Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Urusan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Ghani, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari.

Tambah beliau, seramai 49,290 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses hari mengundi dengan 1,021 buah pusat mengundi yang mengandungi 4,638 tempat mengundi akan digunakan.

Bagi pengundian awal, sebanyak 63 pusat mengundi yang mengandungi 82 tempat saluran awal akan digunakan.

“Bagi urusan undi pos luar negara dan dalam negara pula, permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (9 Agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka 9 Februari 2022 hingga 18 Februari 2022.

“Manakala bagi borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli atau Pegawai SPR, anggota polis dan tentera dan petugas media) pula dibuka bermula 9 Februari sehingga 24 Februari ini,” ujarnya.

Permohonan untuk mengundi secara pos boleh dilakukan pada pautan https://myspr.gov.my/.

Berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2021 sehingga 21 Januari lalu terdapat 2,597,742 pengundi yang mana 2,574,835 orang adalah pengundi biasa.

“Sementara 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan polis Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

“Selain itu, seramai 43,149 bagi pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di saluran 1,” katanya.

Abdul Ghani berkata, dianggarkan sebanyak RM96 juta akan digunakan untuk pengurusan PRN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast