nasi kandar Ipoh helicopter Ebit Lew sexual harassment Abd Jalil Hassan CCID commercial crime online gambling syndicates Op Dadu Khas
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Sebuah video tular di aplikasi WhatsApp yang memaparkan kejadian individu dipukul dikenal pasti berlaku di sekitar kawasan Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan penularan sebuah klip video berdurasi empat minit 59 saat melalui WhatsApp memaparkan beberapa kejadian individu dipukul oleh pihak yang didakwa ahli kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Harapan India Malaysia.

“Video itu turut disertakan dengan kenyataan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis.

“Semakan mendapati video tersebut mengandungi rangkuman beberapa kejadian jenayah yang dikenal pasti berlaku di sekitar kawasan Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, paparan klip video tersebut mengandungi kenyataan yang tidak benar terhadap PDRM kerana siasatan telah dijalankan ke atas kejadian-kejadian yang ditularkan dan pelaku berkaitan telah dihadapkan ke mahkamah.

Justeru, beliau menegaskan perbuatan menularkan kandungan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan kesalahan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette