Bersatu
Gambar hiasan

KUANTAN – Seramai 31 individu yang mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran dan menyertai UMNO didakwa bukan ahli parti itu.

Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, pihaknya tidak menemui rekod keahlian mereka dan mereka dipercayai ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Maran

Tambah beliau, bagaimanapun hanya seorang daripada individu mengisytihar keluar Bersatu iaitu Siti Nora Mohamad Nor namun beliau bukan Ketua Srikandi seperti dinyatakannya.

“Siti Nora tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi Bahagian ini dalam pemilihan bahagian yang diadakan pada 28 November tahun lalu.

“Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih adalah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan Siti Nora menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran pada 10 April tahun lalu.

Jelas beliau, memandangkan Bersatu sebagai sebuah parti politik yang mengamalkan prinsip demokrasi, menghormati pendirian ahlinya itu meninggalkan parti dan enyertai parti politik lain.

Semalam  Siti Nora bersama 30 ahli Bersatu Bahagian Maran didakwa menyerahkan borang untuk menyertai UMNO. – MalaysiaGazette