Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berucap pada Program Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa komited dalam usaha memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara dengan mengadakan program sesi dialog industri agromakanan 2022 bersama pemain industri pelbagai subsektor berasaskan pertanian.

Dialog bertemakan, Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan itu bagi mengenal pasti isu sektor agromakanan termasuk mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, tema itu selaras dengan pelaksanaan dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang antara lain memberi penekanan terhadap pemodenan sektor pertanian mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Dalam program dialog itu, kata beliau, seramai 200 peserta iaitu pemain industri agromakanan hadir secara fizikal dan 1,000 lagi secara webinar atau Facebook Live.

“Mereka adalah subsektor padi, tanaman, ternakan dan perikanan, yang antaranya wakil pengeluar, syarikat peneraju, pengimport, pengeksport dan wakil rangkaian pemasaran serta pemprosesan.

“Selain itu, turut melibatkan jabatan dan agensi bawah MAFI serta jemputan daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkepentingan dalam sektor agromakanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog dengan pemain industri, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ronald, dialog industri itu merupakan salah satu inisiatif MAFI atau platform dua hala secara terus bersama pemain industri  untuk berkongsi idea, pandangan, cadangan dan hala tuju kerajaan.

Katanya, ia juga dapat mengeratkan kerjasama dan hubungan baik kepada rakyat khususnya golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan.

“Meninjau satu dekad yang lalu, sektor agromakanan terus mengekalkan daya tahan dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat daripada RM26.6 bilion tahun 2010 kepada RM51.3 bilion pada 2020.

“Namun, bagi memenuhi keperluan penduduk, negara pada hakikatnya masih perlu bergantung kepada import beberapa komoditi makanan utama seperti beras, sayur dan daging.

“Ini untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi setiap masa,” katanya.

Beliau juga mengakui, pandemik Covid-19 dan banjir baru-baru ini telah menguji daya tahan sistem makanan negara dalam mengatasi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan.

Katanya, aktiviti pengeluaran makanan juga tidak dapat dilaksanakan secara optimum akibat daripada kekangan masa dan tenaga kerja yang mengakibatkan kerugian besar.

“Kesan limpahan terhadap keseluruhan rantaian sistem makanan dan sekuriti makanan ini menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan dan pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan kelancaran bekalan makanan sepanjang masa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast