Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah masuk suku pertama tahun 2022, majoriti rakyat negara ini belum menikmati akses 5G.

Pada masa sama, syarikat telekomunikasi utama negara telah melancarkan ‘perang’ terbuka terhadap kerajaan menyebabkan Malaysia ketinggalan jauh di belakang negara jiran.

Demikian tegas Ahli Kawatankuasa Parti Amnah Negara (Amanah), Faiz Fadzil yang turut menyifatkan Singapura sudah mempunyai akses 5G meliputi dua pertiga negara itu.

Katanya, di Indonesia pula, jaringan 5G sudah wujud sejak Jun 2021 menerusi tiga syarikat telekomunikasi, manakala syarikat telekomunikasi terbesar Thailand telah menawarkan liputan 5G di 76 peratus lokasi negara itu sehingga tahun lepas.

“Di Malaysia, akses 5G sudah mula ‘live’ sejak beberapa minggu lalu di sebilangan kecil kawasan di Lembah Klang. Namun, hanya Telekom Malaysia dan YES menawarkan liputan 5G setakat ini.

“Syarikat telekomunikasi utama iaitu Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile enggan menyertai jaringan 5G ini, yang telah dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu syarikat milik penuh kerajaan.

“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, Bersatu dan Pas yang memperkenalkan konsep pelaksanaan 5G menerusi DNB,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, DNB diberi mandat membina infrastruktur 5G di seluruh negara dan kemudiannya menyewakan akses itu kepada operator rangkaian mudah alih pada harga pukal.

Ini tegas beliau, bertentangan dengan kaedah bidaan kompetitif dan direct award yang diguna pakai di banyak negara lain.

Hakikatnya, menurut Faiz, projek 5G ini yang boleh mencecah RM20 bilion tidak mempunyai elemen persaingan dan inovasi kerana hanya digerakkan oleh DNB.

“Memandangkan DNB ini milik penuh kerajaan, kemungkinan berlakunya penyelewengan dan pemberian kontrak kepada kroni menjelang PRU15 turut wujud.

“Jika benarlah 5G ini lebih efektif dibangunkan menerusi syarikat milik kerajaan, sudah pastinya negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah mengguna pakai konsep yang sama.

“Namun, negara-negara ini telah menjalankan bidaan secara terbuka dan meraih hasil berbilion dollar,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan memastikan akses 5G sampai segera kepada rakyat, termasuk sektor perniagaan.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir ini, lagi lama masa diambil, Malaysia akan lebih ketinggalan dalam Revolusi Industri 4.0.

Faiz turut mencadangkan kerajaan, agar pegangan ekuiti dalam DNB, yang ketika ini dimiliki 100 peratus oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dijual kepada syarikat telekomunikasi.

“DNB harus ditukar dan diganti menjadi satu konsortium yang dibentuk oleh semua syarikat telekomunikasi di Malaysia dan pelaksanaan 5G boleh digerakkan secara kolektif.

“Memandangkan 5G ini adalah ‘komoditi awam’, kerajaan dicadangkan untuk memegang saham emas dalam konsortium baharu ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, DNB berpotensi menjadi kegagalan mega kedua terbesar selepas 1MDB jika gagal diuruskan dengan baik.

Katanya, jaringan 5G tidak akan dapat digerakkan tanpa kerjasama syarikat telekomunikasi.

“Maka, partisipasi mereka dalam pelaksanaan 5G menerusi konsep konsortium adalah cara terbaik pada ketika ini.

“Sampai bila harus kita tunggu untuk menikmati akses 5G dan Internet yang lebih pantas?” soal beliau. – MalaysiaGazette