Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menangguhkan prosiding saman sivil oleh syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain Najib, tujuh lagi defendan turut berdepan saman sivil 1MDB dan empat lagi anak syarikatnya sebagai plaintif iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited.

Menurut peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yusoff Ahmad memutuskan untuk menangguhkan prosiding pagi ini selepas kedua-dua belah pihak bersetuju tangguh pendengaran ini.

Semua pihak bersetuju prosiding ditangguhkan sehingga kes berkaitan penyelewengan 1MDB bernilai RM2.3b yang sedang dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib selesai terlebih dahulu.

Sepatutnya dalam prosiding hari ini Najib difahamkan akan memohon menggantung prosiding namun menarik balik selepas mahkamah memutuskan untuk menangguhkan pengurusan kes itu hari ini.

“Namun, mahkamah telah meminta kedua-dua pihak memfailkan pembelaan dan permohonan interlokutori sebagai persediaan sebelum bicara kes saman bermula kelak,” katanya kepada pemberita di luar selepas pengurusan kes.

Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

Writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib pada Mei tahun lalu, juga disaman ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Selain itu nama lain sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Saman tersebut mendakwa semua pihak-pihak ini telah menipu dua entiti milik kerajaan itu.

Namun pada tahun yang sama selepas beberapa bulan, bebrapa nama telah dikeluarkan dari saman sivil itu termasuklah Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee, Gim Huat, Azmi Tahir, Ashvin Valiram, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman pada 16 Ogos.

Kebanyakan nama ini juga menjadi saksi pendakwaan bagi kes 1MDB yang sedang dibicarakan ketika ini. – MalaysiaGazette