Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap kepada media mengenai pencapaian penerimaan Pusat Aduan Terkesan Vaksin semenjak 10 hari dalam menerima aduan yang mencapai 300 orang di Villa Puteri Kondominium, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Anti Diskriminasi Dan Salah Laku serta Pusat Aduan Terkesan Vaksin (PATV) telah menerima kira-kira 300 aduan orang ramai yang terkesan akibat Covid-19.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Menurutnya, sebahagian besar mereka tidak mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk pulih atau sekurang-kurangnya mendapatkan sbantuan bagi meringankan penderitaan dan beban kesan pengambilan vaksin terhadap mereka.

Beliau berkata demiukian dalam sidang media di sini semalam bagi memaklumkan pencapaian penerimaan PATV semenjak dirasmikan 10 hari lalu.

Hadir sama semasa sidang media Penasihat Kesihatan PPIM, Dr. Sani Ashari, Pengerusi PATV, Datuk Mohd Fakrunizam, Penasihat PPIM, Zaharah Sulaiman serta Ketua International Grand Emir of Sahaba 99, Vince Focarelli.

Zaharah pula menyatakan mengikut data aduan yang diterima, terdapat 30 kesan vaksin termasuk radang jantung, lemah saraf, ketumbuhan, kelecuran dan banyak lagi.

“Mereka yang telah pulih daripada Covid-19 dan telah membina imuniti semulajadi, tidak perlu diberikan vaksin bagi mengurangkan kesannya kerana vaksin ini hanya di tahap uji kaji.

“Kerajaan telah memaksa rakyat menandatangani perjanjian yang agak zalim dan meletakkan rakyat dalam keadaan terpaksa menyerah diri dengan pelbagai cara.

“Walaupun pada awalnya vaksin bukan paksaan tetapi apa yang berlaku adalah lebih dasyat iaitu vaksin melalui proksi dan merisikokan nyawa rakyat,” katanya.

Tambah Zaharah, di mana rasionalnya kanak-kanak perlu divaksin kerana kanak-kanak antibodi semulajadi dalam tubuh kanak-kanak adalah lebih baik.

Sementara itu, Fakrunizam pula mahu kerajaan supaya menghentikan diskriminasi terhadap rakyat terutamanya yang melibatkan Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ia menyekat hak dan kebebasan rakyat.

Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai kesan vaksin boleh datang ke PATV yang bertempat di Pejabat PPIM, Villa Puteri Condominium, Kuala Lumpur, menelefon talian PATV 011-22000 111 atau pun melalui link https://gpmc.my/aduan-patv/.-MalaysiaGazette