Rais Yatim

MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang merancang beberapa strategi bagi memujuk ibu bapa kepada lebih 80,000 kanak-kanak negeri ini yang masih belum mendaftar bagi suntikan vaksin Covid-19 menjelang akhir Februari ini.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, antaranya adalah dengan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menerangkan dan meyakinkan mereka mengenai program Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Menurutnya selain itu, JPN juga mengalu-alukan cadangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menggerakkan unit kenderaan bergerak pemberian vaksin ke sekolah-sekolah tertentu.

“JPN amat mengalu-alukan pemberian vaksin di sekolah selain di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana mungkin cara ini akan lebih meyakinkan ibu bapa selain untuk memberikan vaksin kepada anak-anak mereka di bawah PICKids,

“Semalam, kami dah bermesyuarat mengenai strategi memujuk ibu bapa ini dan saya optimis, lebih 80 peratus ibu bapa daripada lebih 95,000 kanak-kanak di Melaka akan mengambil inisiatif ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Program Mahir Tutor DUN Paya Rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hj Abd Malek, di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh mendedahkan seramai 83,600 ibu bapa kanak-kanak di negeri ini masih belum mendaftarkan anak mereka untuk menerima vaksin Covid-19.

Jelasnya, faktor ‘tunggu dan lihat’ dipercayai menjadi punca mengapa ramai ibu bapa takut untuk mendaftarkan anak-anak mereka di bawah di bawah PICKids menyebabkan pihaknya bercadang menggerakkan unit bergerak pemberian vaksin ke sekolah-sekolah tertentu.

Mengulas lanjut Rais berkata, beliau turut gembira apabila PICKids yang baru bermula tiga hari lalu di Melaka sudah menyaksikan lebih 15,000 pendaftaran melalui aplikasi Mysejahtera.

“Kita tak boleh merumuskan angka 15,000 menuju lebih 95,000 kanak-kanak di Melaka itu sedikit kerana PICKids baharu sahaja mula tiga hari dan saya yakin angka itu akan terus meningkat.

“Jadi tak adil kalau kita rumuskan itu dan ini jadi saya harap ibu bapa ambillah peluang ini untuk melindungi anak-anak dengan suntikan imunisasi Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette