Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai rancangan yang konkrit untuk masa depan Johor dan penglibatannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya untuk menentang kluster mahkamah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana pemimpin Bersatu, Tan Sri Muhyiddin terus terbelenggu dengan kluster mahkamah daripada istilah ciptaannya sendiri.

Tambah beliau, Presiden Bersatu itu mendakwa satu-satunya cara untuk menghalang kluster mahkamah daripada kembali berkuasa ialah dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Yang lagi pelik ialah, tiada seorang pun yang beliau gelar ‘kluster mahkamah’ itu bertanding di Johor atau ada kena mengena dengan pentadbiran Kerajaan Johor,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Dalam hantaran yang bertajuk ‘Kasihan Muhyiddin’ Mohamed Khaled meminta bekas Perdana Menteri itu supaya tidak mengheret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan terhadap tokoh tertentu.

Katanya, apa yang penting kepada rakyat Johor ialah memilih kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.

Menurut Mohamed Khaled, seluruh negara kini telah jauh bergerak ke hadapan, mencari kestabilan, memulih ekonomi dan mencipta masa depan.

“Saya kasihan benar dengan Presiden BERSATU ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan.

“Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana di bayangi dengan kluster mahkamah,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu..

Mohamed Khaled yang menyifatkan Muhyiddin sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam perjalanan politiknya berkata, setelah kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, tewas pada PRN Melaka, gagal bertapak di Sarawak, kecundang dalam usaha memikat kerjasama dengan UMNO kini beliau hanya ada Pas sebagai sandaran.

“Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli BERSATU keluar meninggalkan parti.

“Karma talkin beliau terhadap UMNO kembali menghantui BERSATU. Semuanya ciptaan beliau sendiri, bukan orang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette