Hattan (dua dari kanan) dan kumpulan nasyid Mestica.
KUALA LUMPUR – Inisiatif beberapa kumpulan nasyid sebelum ini berkolaborasi dengan penyanyi solo ternama diakui berjaya menghidupkan semula irama nasyid tanah air.
Biarpun lagu yang dinyanyikan itu adalah versi rakaman semula, sekurang-kurangnya usaha dilakukan itu mampu memperkenalkan irama nasyid kepada generasi muda hari ini sekaligus mengumpul peminat baharu.
Tidak ketinggalan kumpulan Mestica yang kini muncul dengan single baharu berjudul Istikharah yang berkolaborasi dengan penyanyi terkenal juga lagenda Datuk Hattan.
Mestica yang ditubuhkan pada 2003 ini antara kumpulan nasyid yang menjadi kegilaan pelajar universiti dan peminat irama itu dengan deretan lagu popular mereka.
Selepas kali terakhir muncul dengan album Projek Palestin – Satu Misi Kemenangan bersama beberapa penyanyi nasyid lain pada 2013, tahun ini Mestica yang dianggotai Muhamad Razin Che Mud (Razin), Mohd Khairulnizam Zainol (Khairul) dan Khalil Khusairi Tarmizi (Khalil) mencuba sesuatu yang baharu.
Menurut Razin juga pencipta lagu Istikharah, adalah satu penghormatan buat mereka apabila Hattan bersetuju untuk berkolaborasi bersama Mestica dalam lagu itu.
“Untuk lagu ini tentunya kita meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi ini kali pertama Mestica berduet dalam satu single dengan Hattan yang cukup besar namanya dalam industri muzik kita.
“Saya difahamkan Hattan sendiri tidak pernah terbabit produksi atau single dengan genre nasyid. Ini satu penghormatan juga disebabkan beliau memilih kami sebagai artis nasyid pertama yang beliau berkolaborasi untuk menghasilkan satu single.
“Tentunya satu penghormatan juga apabila Hattan bukan sahaja sudi berkolaborasi malah sudi menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Mestica sendiri. Kita mengharapkan lagu ini mendapat sambutan yang baik.
Hattan menyifatkan lagu Istikharah adalah lagu yang memberi semangat dan sesuatu yang memberi perjuangan.
Razin menambah, lagu Istikaharah merupakan sebuah lagu yang cukup istimewa bagi Mestica yang mana ia adalah lagu yang memang dicipta khusus untuk Mestica dan dicipta oleh diirnya dan lirik oleh Mass Mohammad iaitu isteri beliau sendiri.
“Lagu ini adalah satu ‘subject matter’yang jarang diangkat dalam nasyid ataupun lagu lain. Kadang-kadang mungkin ramai yang tidak tahu apa Istikaharah itu.
“Tapi, apabila ia dijadikan inti ataupun isi kepada sebuah lagu maka lebih mudah untuk diterjemahkan yang mana Istikharah ini merujuk kepada solat yang dilaksanakan oleh seorang Muslim ketika berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, Hattan menyifatkan lagu Istikharah adalah lagu yang memberi semangat dan sesuatu yang memberi perjuangan.
“Saya ‘salute’ apa yang Mestica cuba buat ini dan saya menyokong penuh single terbaharu ini. Ketika proses penulisan lagu ini, saya tidak ada dalam penciptaan lagu ini.
“Saya hanya dijemput sebagai penyanyi. Jadi, saya rasa bahagian penulisan dan mengenai penceritaan lagu ini semua saya serahkan kepada Mestica.
“Dari segi proses rakaman lagu berjalan dengan begitu baik dengan bantuan daripada pakar nasyid kita iaitu Daqmie. Ia memberikan satu semangat dan memudahkan disebabkan tunjuk ajar beliau kerana saya tidak pernah buat rakaman nasyid sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast