Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur di sekitar ibu negara sejak 10 Februari sehingga semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 14 lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan sekitar ibu negara bermula 10 Februari sehingga semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, operasi tersebut melibatkan kawasan sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Razak dengan kekuatan seramai 11 pegawai dan 59 anggota.

“Tangkapan terhadap 14 lelaki berusia lingkungan 25 hingga 54 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua tangkapan kemudiannya di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, Zulkafli berkata, pihaknya turut menahan seorang penunggang motosikal berusia 16 tahun yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jelas beliau, penunggang terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

Menurut Zulkafli, sebanyak 361 saman telah dikeluarkan yang melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tiga hari operasi dijalankan.

“Sebanyak 22 buah motosikal turut disita kerana didapati mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, JSPT Kuala Lumpur turut menjalankan kolaborasi bersama Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur dan mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tambah Zulkafli, operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya juga akan terus dipertingkat.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette