Superintendan Kamarulzaman Jusoh

KUANTAN – Sebanyak 78 saman dikeluarkan dan 22 buah motosikal disita dalam Op Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan di di Hentian Rehat dan Rawat Gambang, di sini, pada Sabtu dan Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, operasi itu dilakukan dengan kerjasama pasukan Bukit Aman yang dianggotai empat pegawai dan 15 anggota bagi mencegah aktiviti samseng jalanan.

Op Motosikal yang dijalankan oleh IPK Pahang pada 12 dan 13 Februari 2022 menyita 22 motosikal dan mengeluarkan 78 saman atas pelbagai kesalahan

“Antara 78 saman yang dikeluarkan melibatkan 32 saman nombor plat kenderaan fancy, 19 kes cermin sisi, 12 kes melibatkan ubah suai kenderaan dan 15 lain-lain kesalahan.

“Sebanyak 40 kenderaan diperiksa dan 32 daripadanya telah disaman merupakan motosikal dan hasil pemeriksaan mendapat 11 rekod kenderaan curi turut dikesan.

“Manakala kesemua 22 motosikal yang disita dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Kamarulzaman berkata kes disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihaknya sentiasa mengadakan operasi pemantauan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette