Ahmad Marzuk Shaary

KUALA KRAI – Pasangan yang mempunyai hasrat untuk berkahwin tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran sebaliknya menggunakan saluran betul yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata pasangan yang menggunakan khidmat sindiket atau ejen perkahwinan di negara jiran, akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam jangka masa panjang.

“Perkara ini penting supaya perkahwinan itu tidak berbangkit dengan pelbagai isu dan masalah di depan hari kepada kedua-dua pasangan.

“Gunalah saluran yang betul dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan (Malaysia), kerana kita telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan lengkap, tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Seragam Sekolah di Dataran Lemang, Manik Urai, di sini hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 Mac ini, ejen-ejen nikah Siam tidak menang tangan menerima tempahan pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pasangan perlu memikirkan keabsahan perkahwinan mereka apabila menggunakan khidmat sindiket perkahwinan di negara jiran.

“Perlu juga fikir dari sudut berpanjangan contoh daripada aspek pendaftaran anak dan sebagainya sekiranya perkahwinan itu tidak sah apabila menggunakan ejen atau sindiket perkahwinan. Gunalah jurunikah yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah,” katanya. – BERNAMA