Dr Asmadi Abdul Rahman

KUANTAN – Individu atau ketua keluarga di Pahang yang benar-benar  memerlukan bantuan persekolahan anak-anak mereka boleh menghubungi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi mendapatkan bantuan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, mereka yang memerlukan bantuan persekolahan boleh hadir ke pejabat MUIP di setiap daerah dan mengisi borang permohonan.

“Atau mereka mengetahui tentang kewujudan asnaf yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pihak kami dan saya berharap pemimpin masyarakat seperti ketua kampung dan penghulu dapat bekerjasama memberi maklumat di kawasan mereka mengenai masalah dihadapi penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Tambah Dr. Asmadi, MUIP terus mendekati golongan asnaf sekali gus melihat masalah dihadapi seterusnya memberi bantuan yang diperlukan mengikut keperluan masing-masing.

Bantuan juga disalurkan kepada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU)  yang tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada segi bantuan kewangan dan keperluan asas secara bulanan serta rawatan kesihatan.

“Manakala bantuan persekolahan, kami boleh bantu beli baju atau yuran dan berkaitan bagi membantu takut ada yang bekalan terputus

“Antara bantuan layak diterima ialah bantuan kewangan dan keperluan asas secara bulanan serta kesihatan,” katanya.

Tambah beliau, MUIP mengagihkan bantuan zakat lebih RM170.9 juta kepada lapan asnaf dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, membina dan membaiki rumah serta program keagamaan sepanjang 2021.

Bantuan lebih RM76.4 juta diberikan kepada golongan fakir dan miskin yang berhadapan pelbagai masalah. – MalaysiaGazette