Dua pelanggan kelihatan sedang menikmati hidangan Kentucky Fried Chicken (KFC) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette.

KUALA LUMPUR – Restoran makanan segera KFC di Lembah Klang mengalami gangguan stok ayam yang dipercayai berpunca daripada kekurangan bekalan ayam mentah di pasaran tempatan.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa premis KFC pada Sabtu dan Ahad lalu mendapati sajian ayam goreng yang menjadi hidangan utamanya habis awal meskipun operasi restoran itu hanya ditutup jam 10 malam.

Dalam tinjauan di cawangan KFC Aeon Ampang pada jam 4 petang Sabtu lalu, dimaklumkan ayam hot and spicy telah habis dijual dan tidak ada tambahan.

Yang ada hanya perisa original sahaja.

MalaysiaGazette difahamkan premis itu telah kehabisan bekalan untuk ayam hot and spicy kerana stoknya tidak banyak seperti sebelum ini.

Cuti hujung minggu menyebabkan bekalan habis lebih cepat berbanding hari biasa.

Tinjauan seterusnya di KFC Bandar Baru Ampang turut dimaklumkan ayam perisa yang sama juga habis. Yang ada terjual ayam original, itu pun jumlah ayam yang sudah tersedia cukup terhad kerana pelanggan tiada pilihan.

Kehabisan bekalan turut berlaku di KFC Pandan Indah dan Setiawangsa.

Bagaimanapun, makanan snek lain seperti kentang goreng, kentang putar dan coleslaw serta lain-lain difahamkan tiada masalah bekalan.

Usaha MalaysiaGazette untuk membeli ayam KFC melalui talian juga tidak kesampaian petang semalam kerana pemilihan menu sangat terhad dan tidak ditawarkan ayam goreng.

Tinjauan sama di Kedai Ayamas milik QSR Brands petang semalam juga mendapati peti sejuk premis yang terletak di Ampang kosong.

Pelbagai makanan sejuk beku berasaskan ayam yang selalunya dijual kehabisan stok.

Kakitangan premis berkenaan berkata, bekalan snek seperti nuget, tempura, ayam pop corn, pelbagai ayam bersalut juga kehabisan awal kerana jumlah stok yang dibekalkan di premis-premis cukup terhad sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, sumber industri ayam tempatan meramalkan restoran-restoran segera berasaskan ayam akan mengalami masalah bekalan susulan kawalan harga ayam mentah oleh kerajaan.

Kekurangan bekalan itu disebabkan ada penternak yang menutup ladang ayam kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi susulan lonjakan harga dedak dan masalah pekerja, ditambah pula dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, MalaysiaGazette dimaklumkan sebanyak 45 ladang ayam di Perak ditutup, selain beberapa lagi ladang di seluruh negara akan mengikut jejak langkah sama kerana para penternak tidak mahu kerugian yang ditanggung mereka semakin melebar.

Harga dedak didakwa naik sehingga RM34 bagi seguni susulan kenaikan harga komoditi, juga penggunaan tenaga kerja tempatan yang bergaji lebih tinggi berbanding warga asing.

Faktor-faktor ini, ditambah dengan kawalan harga menyebabkan penternak rugi besar.

Di bawah skim yang berkuat kuasa 5 Februari hingga 5 Jun itu, harga ladang bagi setiap sekilogram di Semenjung ditetapkan sebanyak RM5.60 dan penternak mendakwa harga itu tidak balik modal dan sepatutnya dijual RM6.50

KFC antara salah satu restoran yang diramal akan mengalami kesan daripada kekurangan bekalan memandangkan ia memerlukan lebih 3 juta ayam sebulan bagi menampung permintaan daripada pelanggan-pelanggannya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast