Muhammad Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Perpecahan parti politik Melayu boleh merugikan undi dalam pilihan raya, kata Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.

Beliau menegaskan, jika UMNO, Bersatu, Pas dan Pejuang tidak bersaing sesama sendiri di kawasan majoriti Melayu, sudah tentu mana-mana parti berkenaan yang bertanding tanpa persaingan, ada potensi untuk menang.

“Secara makro, di kawasan pantai barat, UMNO menguasai undi orang Melayu memandangkan ia parti tertua dan pengaruhnya parti kemerdekaan, manakala di pantai timur, Pas menguasai undi orang Melayu yang latar belakang masyarakatnya dekat dengan pengajian Islam.

“Namun, secara mikro pula, kedua-dua parti ini menguasai undi orang Melayu di kawasan luar bandar berbanding pengundi di kawasan bandar yang lebih terbuka untuk menyokong parti-parti ‘multi-racial’ seperti PKR dan Amanah.

“Faktor kuat yang meningkatkan pengaruh undi orang Melayu di kawasan bandar disebabkan meningkatnya kelas menengah yang didorong akses kepada pendidikan, maklumat dan sosio-ekonomi masyarakat bandar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Faiz, rekod PRU ke-11, 12 dan 13 sebelum ini menunjukkan undi Melayu kepada pembangkang dikuasai melalui pengaruh Pas.

Namun, katanya, setelah Pakatan Rakyat (PR) berpecah, pembangkang hilang hampir 30 peratus undi Melayu, tetapi berjaya ditampung dengan kesepakatan bersama Bersatu dalam gabungan baru Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana dinamik kawasan di pantai barat, pengaruh undi Melayu melalui Bersatu telah melonjakkan jumlah kawasan Parlimen yang dimenangi pembangkang dalam PRU ke-14.

“Lonjakan ini telah membolehkan pembangkang menguasai kerajaan di peringkat persekutuan dan beberapa negeri di pantai barat termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

“Bagaimanapun, perpecahan parti pembangkang susulan Langkah Sheraton telah menyebabkan pakatan pembangkang kehilangan semula sokongan undi teras Melayu kerana tiadanya parti berteraskan kaum Melayu bersama dalam gabungan ini,” kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir ini menjelaskan, PRN Melaka telah mengembalikan UMNO berkuasa bukan kerana kuat atau popularnya parti itu, tetapi kerana undi di kalangan pembangkang terutama orang Melayu berpecah.

Katanya, walaupun UMNO ditolak rakyat pada PRU ke-14 lalu, kerana skandal rasuah seperti isu 1MDB, Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya serta kelemahan polisi ekonomi seperti GST dan harga barang, parti itu kembali menang sekarang kerana sokongan penyokong akar umbinya.

“Justeru, trend pengundian ini akan berterusan terutama dalam PRN Johor jika parti Melayu di kalangan pembangkang tidak bersatu semula dalam satu gabungan yang kuat.

“Berhadapan keadaan inilah, PH telah merintis satu penjajaran politik yang baru dengan menawarkan strategi ‘khemah besar’.

“Khemah besar ini telah disepakati bersama arti gabungan PH untuk bekerjasama dengan parti lain yang mempunyai agenda perjuangan yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette