Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.- Gambar hiasan.

SINGAPURA – Singapura menasihatkan rakyatnya meninggalkan Ukraine secepat mungkin berikutan ketegangan di negara itu dan wilayah sekitarnya semakin memuncak.

“Berdasarkan situasi terkini, rakyat Singapura di Ukraine dinasihatkan meninggalkan negara itu secepat mungkin melalui pengangkutan komersial sementara masih boleh berbuat demikian,” menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (MFA) republik itu pada Ahad.

“Tiada jaminan bahawa MFA dalam kedudukan dapat membantu warga Singapura meninggalkan negara itu jika konflik tercetus. Singapura tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Ukraine,” menurut kenyataan itu.

Warga Singapura yang masih berada di Ukraine perlu segera mendaftar dengan MFA menerusi https://eregister.mfa.gov.sg jika belum berbuat demikian.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat MFA 24 jam di: Tel: +65 6379 8800/6379 8855 atau Faks: +65 6476 7302.

Dilaporkan bahawa Israel, Albania dan Maghribi turut menggesa rakyat masing-masing meninggalkan Ukraine.

Sementara itu, AS dilaporkan memindahkan beberapa kakitangan diplomatiknya dari ibu negara Ukraine ke bandar Lviv sebagai langkah keselamatan.

Kanada dan Australia turut menggantung operasi kedutaan di Kyiv dan membuka pejabat sementara di Lviv, menurut satu laporan. – MalaysiaGazette