Lokasi di mana seorang wanita warga Somalia dipercayai dibunuh di Jalan Memanda 2, Ampang dekat sini semalam. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis memberkas seorang lelaki warga Iraq yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang wanita warga Somalia di Jalan Memanda 2, Ampang, dekat sini, semalam.

Suspek berusia 25 tahun juga merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya pada pukul 11.20 malam di Jalan Ampang Putra, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika tangkapan dilakukan, pihaknya turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Kita percaya dengan tertangkapnya suspek, kes ini telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, Mahkamah Majistret Ampang hari ini telah membenarkan suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran itu direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Menurut beliau, berdasarkan soal siasat awal yang dijalankan, suspek sudah sembilan tahun menetap di negara ini bersama keluarganya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada mangsa dan suspek saling kenal antara satu sama lain, Mohamad Farouk memaklumkan bahawa kedua-dua mereka adalah rakan sekerja.

“Ya, mereka merupakan rakan sekerja di sebuah restoran makanan Arab,” ujarnya.

Bagaimanapun, motif pergaduhan antara mangsa dan suspek masih dalam siasatan lanjut, katanya.

Jelasnya lagi, proses bedah siasat masih dijalankan di Hospital Kuala Lumpur bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita terbabit berikutan mangsa disahkan positif Covid-19.

Semalam, seorang wanita warga asing ditemui maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di Jalan Memanda 2, Ampang.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

 

Wanita warga asing ditemui maut dipercayai dibunuh