Seorang wanita dipercayai warga Afrika ditemui maut dipercayai di bunuh di Jalan Memanda 2, Ampang Point, hari ini. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing ditemui maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di Jalan Memanda 2, Ampang Point dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan maklumat yang diterima berlaku kejadian ragut di lokasi dan memerlukan bantuan pihak polis.

”Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima makluman mengenai kejadian itu dari penolong pegawai perubatan (MA) Hospital Ampang pada pukul 12.12 tengah hari.

“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati mangsa merupakan seorang wanita dipercayai warga Afrika dalam keadaan terbaring mengiring dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang berusia 20-an telah disahkan meninggal dunia oleh MA yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lokasi seorang wanita dipercayai warga Afrika ditemui maut dipercayai di bunuh di Jalan Memanda 2, Ampang Point, hari ini. Foto PDRM

Ketika ditanya mengenai punca kematian wanita terbabit, Mohamad Farouk berkata, kes tersebut masih dalam siasatan lanjut pihak polis.

“Maklumat awal kita terima ragut, tapi siasatan awal di tempat kejadian berdasarkan saksi awam ia ada berpunca dari pergaduhan mangsa dengan suspek,” katanya.

Tambahnya lagi, punca atau motif sebenar kejadian masih disiasat sementara menunggu keputusan bedah siasat ke atas mangsa.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk memberikan kerjasama dan menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03 – 4289 7222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette