KUALA LUMPUR – Tiga Momorandum Sefahaman (MoU) bernilai lebih RM100 juta ditandatangani di antara tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan tiga rakan niaga yang berpotensi dari Emiriah Arab Bersatu di Expo 2020 Dubai.

Semua syarikat ini merupakan sebahagian daripada 17 syarikat permulaan (startup) dan PKS Malaysia berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Expo 2020 Dubai – Minggu PKS Malaysia.

Syarikat-syarikat tersebut ialah Propeasy Sdn. Bhd dan Mahaley Marketing; ii. Fario Holdings Sdn Bhd dan Miko Koffie NV of Belgium; dan iii. Govicle Sdn Bhd dan Six Day Company LLC.

Minggu PKS Malaysia di Ekspo diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensi pelaksana iaitu SME Corp yang memfokuskan kepada syarikat permulaan dan PKS di dalam memacu pembangunan ekonomi negara melalui syarikat berteraskan inovasi.

Turut serta dalam delegasi ini ialah SME Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad berkata, penglibatan MEDAC di Expo 2020 Dubai merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Malaysia dalam membangkitkan semula peranan syarikat permulaan dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongan dan kerjasama dengan pelabur dan rakan perniagaan berpotensi.

Ini akan membantu di dalam mempertingkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global.

Dalam hubungan ini, 17 syarikat permulaan dan PKS berprestasi tinggi dari Malaysia telah terpilih untuk diperkenalkan kepada rakan perniagaan global yang berpotensi di Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai, UAE.

Fokus industri yang diketengahkan melalui syarikat permulaan dan PKS pada kali ini adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi; perubatan dan kesihatan; dan perkhidmatan berkaitan dron.

Selain itu, syarikat yang menyertai ekspo ini akan terlibat secara langsung di dalam aktiviti yang dianjurkan di Pavilion Malaysia seperti sesi pemadanan perniagaan, sesi pengenalan produk dan perkhidmatan serta pitching perniagaan kepada pelabur berpotensi.

Syarikat-syarikat tersebut telah dibimbing oleh SME Corp. Malaysia serta beberapa agensi MEDAC lain.

Mereka ini juga terpilih kerana telah bersedia untuk mencapai standard antarabangsa bagi perkhidmatan ataupun barangan yang dipasarkan.

Sementara itu, dalam usaha merancakkan sinergi penglibatan MEDAC bersempena Expo 2020 Dubai, dua program tambahan turut dilaksanakan serentak iaitu Export Acceleration Mission dan Business Export Program 2.0 oleh SME Bank yang melibatkan 11 syarikat PKS Bumiputera dan Franchise Engagement Programme oleh Pernas. – MalaysiaGazette