Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim diiringi Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) menyampaikan Geran Bantuan Kewangan PERKESO kepada wakil dari Kelab Ipoh Bikers (KIB), Wazi Abdul Hamid (kiri) pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso 2022 di Menara Perkeso, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.57 juta bagi pelaksanaan aktiviti memupuk kesedaran mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, bantuan kewangan yang diperuntukkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu memanfaatkan sebanyak 37 institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dipilih bagi melaksanakan 639 program berkaitan KKP.

Menurut beliau, dalam fasa pandemik tahun lalu, sebanyak 399 program KKP berjaya dilaksanakan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.25 juta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berucap pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso 2022 di Menara Perkeso, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2022.

“Inisiatif pencegahan kemalangan dan amalan meningkatkan kesedaran mengenai aspek KKP ini adalah amat penting.

“Tanpa kita sedari, setiap bencana pekerjaan sebenarnya merupakan kos kepada masyarakat dan negara apabila berlakunya insiden seperti kehilangan nyawa, hilang upaya fizikal dan mental serta kerosakan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso kepada institusi dan NGO 2022 di Menara Perkeso, Jalan Ampang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Ir. Zailee Dollah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perkeso saban tahun menerima kira-kira 60,000 laporan kes kemalangan merangkumi kemalangan industri, kemalangan dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat bekerja dan penyakit khidmat.

“Tahun lalu, data interim Perkeso merekodkan sebanyak 56,990 kes kemalangan di mana 33,096 daripadanya merupakan kemalangan industri manakala 23,894 adalah kemalangan semasa dalam perjalanan.

“Kecuaian dan kelemahan pemantauan ke atas pematuhan KKP di tempat kerja adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar kes kemalangan tersebut,” ujar beliau.

Justeru katanya, usaha Perkeso menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi dan NGO adalah selari dengan matlamat dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan individu di tempat kerja terjamin.

Sementara itu, Mohammed Azman berharap kesemua institusi dan NGO yang menerima geran bantuan kewangan tersebut dapat menguruskan dana yang disalurkan secara berhemah dan penuh amanah serta memastikan program yang dirancang berjalan dengan teratur dan tepat kepada kumpulan sasaran. – MalaysiaGazette