Mayat seorang lelaki tempatan OKU ditemukan dalam keadaan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Gombak. Gambar Ihsan Bomba Selangor

GOMBAK – Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) ditemui mati dalam keadaan rentung dalam bilik tidurnya di Kampung Changkat Damai, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam yang menyedari kejadian itu pada jam 10.04 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan dan Selayang dengan kekuatan seramai 14 anggota bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus selepas tiba di lokasi kejadian pasukan kami mendapati kebakaran berlaku di bahagian bilik tidur sebuah rumah teres di kawasan perumahan itu.

“Tanpa membuang masa anggota kami telah memulakan operasi mengawal serta memadamkan kebakaran dengan kadar segera.

“Hanya bilik yang diduduki mangsa sahaja terbakar dan pemeriksaan di dalam bilik itu kemudian mendapati anggota bomba telah menemui mayat lelaki berusia 44 tahun itu dalam keadaan rentung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati mangsa merupakan seorang berstatus OKU yang mempunyai masalah sakit mental dan dikenali sebagai Mohamad Fairuz Mohamad Anbor.

Menurut Norazam, mangsa dipercayai tinggal bersama ibu dan dua beradiknya dan semasa kejadian mereka tiada di rumah.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

“Kita juga telah memulakan siasatan punca berlaku kebakaran di dalam bilik yang didiami mangsa berkenaan (termasuk kemungkinan mangsa bakar apa-apa),” ujarnya. – MalaysiaGazette