Di bawah perjanjian dengan New Delhi, berpuluh-puluh trak dari Afghanistan akan dibenarkan untuk mengumpul gandum dari India melalui sempadan Wagha Pakistan berhampiran bandar Lahore, mulai 21 Februari 2022. -Foto AP

ISLAMABAD – Pakistan membenarkan India menghantar bertan-tan gandum kepada rakyat Afghanistan yang kini bergelut dengan masalah kekurangan makanan, kata dua pegawai Kementerian Luar semalam.

Di bawah perjanjian dengan New Delhi, berpuluh-puluh trak dari Afghanistan akan dibenarkan mengumpul gandum dari India melalui sempadan Wagha di Pakistan berhampiran bandar Lahore mulai 21 Februari ini.

Trak yang diisi gandum akan bertolak pulang ke bandar Jalalabad di Afghanistan melalui sempadan Torkham di Pakistan pada hari berikutnya, kata para pegawai yang tidak mahu dikenali, lapor ABC News.

Perancangan itu dibuat lebih tiga bulan selepas India mengumumkan ia akan menghantar 50,000 tan metrik gandum dan ubat untuk menyelamatkan nyawa di Afghanistan.

Pakistan berkata pada masa itu ia akan membenarkan bantuan India melalui wilayahnya dalam perjalanan ke Afghanistan, tetapi New Delhi tidak dapat memuktamadkan kaedah sehingga minggu lalu, kata para pegawai.

Pakistan dan India mempunyai sejarah hubungan yang tegang.

Hubungan semakin buruk selepas serangan maut di bahagian India di wilayah Kashmir yang dipertikaikan tiga tahun lalu.

Lebih 40 askar India terbunuh.

New Delhi menyalahkan militan yang berpangkalan di Pakistan atas serangan di Kashmir yang dikuasai India, tuduhan tersebut dinafikan Pakistan yang menuntut bukti.

Pada 2019, Pakistan menggantung perdagangan dengan India selepas New Delhi melucutkan bahagian Kashmir yang dikuasai India daripada status negara dan status perlembagaannya yang istimewa.

Sejak itu, hubungan diplomatik dan perdagangan antara kedua negara tidak disambung semula.

Pakistan berkata, ia membenarkan India menghantar makanan ke Kabul melalui wilayahnya di bawah aturan khas.

Ekonomi Afghanistan terumbang-ambing berikutan pengambilalihan Taliban sejak Ogos lalu.

Baru-baru ini, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat rayuan $5 bilion untuk Afghanistan.

PBB memberi amaran 90% rakyat Afghanistan hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan sebanyak AS$1.90 sehari.

Pakistan dalam beberapa bulan kebelakangan ini juga telah menghantar makanan dan ubat-ubatan ke Afghanistan.

Seperti negara lain, Pakistan dan India setakat ini tidak mengiktiraf kerajaan Taliban.

New Delhi tidak mempunyai hubungan diplomatik di Kabul selepas memindahkan kakitangannya sewaktu pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan. – ABC News

(https://abcnews.go.com/International/wireStory/pakistan-india-deliver-wheat-struggling-kabul-82875294)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast