Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara ini.

BANDAR SERI BEGAWAN – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara ini.

Ismail Sabri yang ditemani isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di Istana Nurul Iman di sini pada pukul 11.10 pagi.

Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Pada sesi menghadap itu, Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zain Shah.

Ismail Sabri kemudian mengadakan pertemuan empat mata kira-kira setengah jam bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

Selesai pertemuan itu, Perdana Menteri dan delegasi diraikan pada Majlis Persantapan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Ismail Sabri tiba di Brunei semalam, lawatan pertama beliau ke negara ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lepas. – BERNAMA