Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan senada dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan 26 Februari depan.

Dr. Mahathir mendakwa, PRN kali ini merupakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukan kluster mahkamah dan golongan kleptokrat dalam UMNO.

“PRN ini telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO.

“Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Perancangan mereka ialah apabila menang di pilihan raya umum nanti, mereka akan dapat menggunakan kedudukan untuk menyelesai kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat,” dakwanya dalam surat berjudul ‘Surat Tun Dr Mahahtir kepada pengundi Johor’, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menyatakan pendiriannya bahawa satu-satu cara untuk tidak memberikan ‘kluster mahkamah’ kembali berkuasa adalah dengan tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, jika kemenangan diberikan kepada BN pada PRN Johor, ‘kluster mahkamah’ akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Mahathir berkata, berikutan itu tujuan Pejuang menyertai PRN Johor adalah bagi menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.

“Rakyat Johor telah menolak calon-calon UMNO dan BN di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahannya. Kali ini, mereka masih lagi mempertahan kleptokrat.

“Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, Pejuang mengumumkan akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti Melayu.

Perkara itu dizahirkan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pengumuman calon yang bertanding akan dilakukan dua hari sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast