Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga dan sukacita di atas pencapaian dan kecemerlangan pejabat Baginda serta kakitangannya dalam mengekalkan pengiktirafan Pensijilan MS ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).

Menurut catatan di laman Facebook Selangor Royal Office, pejabat baginda diiktiraf sebagai pengurusan istana pertama yang memperoleh pensijilan tersebut daripada Malaysia Book of Records pada 27 Jun 2019.

Ia kemudian dikemas kini pada 30 Disember 2021 untuk tempoh sehingga 7 Januari 2025 bawah pentadbiran Datuk Pengelola Bijaya Diraja baharu, Datuk Sawaluddin Md Nor.

“Sejak ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-9 pada 2001, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Selangor diberi keutamaan dan menetapkan penanda aras untuk mencapai satu tahap kecemerlangan dalam tempoh lima tahun” demikian menurut catatan itu.

Pejabat baginda yang sebelum ini dikendalikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Zakaria Abdul Rahman antara 2003 hingga 2019 turut cemerlang dalam pengurusan lawatan ke istana, hal ehwal majlis dan istiadat diraja serta penyediaan santapan diraja.

Menurut kenyataan itu lagi, baginda berharap agar semua kakitangan terus komited menjalankan tugas masing-masing dan amanah serta sentiasa berusaha mengekalkan kecemerlangan pentadbiran.

Pejabat Sultan Selangor sebelum ini turut menerima Pensijilan ISO 9001:2008 sebelum ia dinaik taraf kepada ISO 9001:2015 pada 10 November 2017.

Penganugerahan ISO itu menunjukkan pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah setanding organisasi kerajaan ataupun swasta yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette