Mohd. Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Mengangkat calon muda bertanding pada pilihan raya bukan sesuatu yang baharu dalam Barisan Nasional (BN).

Malah, parti itu sentiasa memberi peluang kepada golongan muda sebagai calon sejak sekian lama, termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, kata Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Sebab itu, jelas beliau, BN tidak pernah pupus pemimpin akar umbi dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, berpendidikan mahupun masyarakat biasa.

“Apabila pihak lawan cuba mengaitkan calon muda sebenarnya mereka yang baharu mengetengahkannya, sedangkan BN sudah lama amalkan.

“Sebagai contoh, Datuk Seri Najib (Tun Razak) diangkat sebagai calon bertanding pada usia muda dan menjadi Menteri Besar (Pahang) pada usia 28 tahun,” katanya yang dipetik UMNO Online, hari ini.

Mohd Hairi turut menolak dakwaan pembangkang yang menjadikan alasan pengundi luar termasuk di Singapura sukar pulang mengundi dalam PRN ini kerana Covid-19.

Katanya, pembangkang juga mendakwa, pengundi luar tidak boleh pulang ke Johor, sedangkan adakah yang di luar negara itu pengundi mereka semua?

“Mana mungkin semua pengundi luar itu akan mengundi pembangkang, ada juga pengundi dan penyokong BN-UMNO.

“Jadi, saya harap pengundi bijak untuk mencari kestabilan politik dan negeri bagi memastikan negara ini kembali makmur serta selamat,” katanya.

Mengenai gerak kerja Pemuda UMNO Johor, beliau menyatakan, semuanya berjalan lancar.

Kata Mohd Hairi, jentera Pemuda telah digerakkan di setiap bahagian termasuk yang secara sukarelawan datang untuk membantu memberi kemenangan kepada BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast