Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Borang Nyata Tahun Saraan 2021 dan Tahun Taksiran 2021 melalui e-Filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh dikemukakan mulai 1 Mac ini.

Ianya termasuk borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF dan TP.

LHDN menerusi kenyataan menyarankan pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Status penghantaran Borang Nyata, proses bayaran balik, e-Lejar dan PCB boleh disemak melalui MyTax.,” kata LHDN menerusi kenyataan.

LHDN turut menasihatkan pembayar cukai untuk memastikan semua dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan cukai pendapatan dikumpulkan, disusun dengan kemas dan disimpan dengan rapi sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen
82 dan 82A Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ia perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memudahkan proses mengisi e-Filing dan semakan pematuhan oleh LHDN pada masa hadapan,” tambah kenyataan berkenaan.

Menurut LHDN, pembayar cukai yang masih menghadapi masalah dalam melakukan tindakan set semula kata laluan e-Filing, mereka boleh menghubungi Hasil Care Line atau mengunjungi kaunter perkhidmatan berhampiran.

Selain itu, maklumat lanjut berkenaan Program Memfail Borang Nyata Bagi Tahun 2022 boleh dirujuk di portal rasmi www.hasil.gov.my.- MalaysiaGazette