Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Isu kluster mahkamah yang dimainkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berkata, ini keranan rakyat kini lebih rasional dan mementingkan kestabilan politik bagi membela nasib mereka.

“Mereka buat pertimbangan yang ada rasionalitinya. Dalam keadaan sekarang bagi rakyat apa yang lebih penting adalah tentang bagaimana memilih sebuah kerajaan yang stabil dan yang memperjuangkan masa depan mereka.

“Jadi naratif kluster mahkamah tidak akan berjaya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) itu, rakyat melihat Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan kluster mahkamah, sebagai bekas Perdana Menteri yang lebih baik berbanding Dr. Mahathir dan Muhyiddin.

Menurut Jeneri, pengundi sudah tentu mengingati jasa Najib dalam melaksanakan dasar kerajaan yang dilihat mesra rakyat, termasuk beberapa program bantuan yang diwujudkan sebelum ini.

“Beliau bukan sahaja popular di kalangan netizen tapi juga rakyat sebab melihat jasa beliau melaksanakan dasar yang mesra rakyat termasuk BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Mereka (rakyat) telah membuat penilaian antara tiga Perdana Menteri ini. Mereka pertimbangkan ketiga-tiga ini sewaktu memerintah, ternyata Najib lebih baik daripada dua itu, jadi dengan sendirinya rakyat tidak akan termakan dengan isu kluster mahkamah,” ujar beliau.

Malah katanya, strategi ‘memetik’ kluster mahkamah tidak memberi kepentingan kepada pengundi di Johor kerana Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan pemimpin yang bakal menerajui pentadbiran negeri itu sekiranya BN menang pada PRN tersebut.

Jelasnya, ia terbukti pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan terbahari pada PRN Melaka baru-baru ini.

“Apa relevannya di Johor bukan Najib nak memerintah, bukan juga Zahid,” tambah Jeneri.

Menjelang PRN Johor tidak lama lagi, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilihat mula memainkan isu kluster mahkamah untuk menyerang BN.

Terbaru Dr. Mahathir dalam kenyataannya mendakwa, PRN Johor merupakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukan kluster mahkamah dan golongan kleptokrat dalam UMNO.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Memang betul itulah otak orang kampong yang tak kesah berita semasa di internet . Mereka pandang mudah dan ringkas tanpa memikirkan GST yang merompak poket mereka . Dengan dapat BR1M beberapa sen mereka lupa GST beberapa ringgit .
    Otak kampong perlu beresing hilang karat kebodohan tersembunyi

Comments are closed.