Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Sebagai seorang individu yang tidak mengenali secara peribadi mana-mana pemimpin tertinggi PAS, perkembangan yang menyelubungi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali, tidaklah menjadi satu perkara yang menarik untuk saya ulaskan.

Ini kerana apa yang berlaku ke atas Datuk Dr Mohd. Khairuddin mahupun ke atas mana-mana pemimpin tertinggi PAS yang lain tidaklah akan memberikan apa-apa impak ke atas pihak tidak berkepentingan seperti saya mahupun kepada pihak-pihak lain yang berada di luar PAS.

Begitupun, apabila diteliti lebih mendalam, selaku seorang individu yang mahir dengan Perlembagaan PAS, maka perkembangan mutakhir membabitkan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebenarnya amat wajar dianalisa secara mendalam kerana ia melibatkan lebih daripada itu.

Isu di dalam pemecatan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Januari 2022 dan di dalam pemecatan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS pada 10 Februari 2022 tidak boleh dilihat sebagai isu individu semata-mata.

Ini kerana isu ini melibatkan perkara utama yang menjadi sebab kelangsungan PAS itu sendiri, yakni dasar PAS, iaitu Islam, selain melibatkan persoalan kesediaan PAS untuk menjadi sebuah parti politik yang menjalankan segala aktivitinya mengikut undang-undang negara.

Jika isu pemecatan Datuk Dr Mohd. Khairuddin ini dibuat tidak mengikut kehendak ajaran Islam serta bercanggah dengan Perlembagaan PAS, maka sudah pastilah keupayaan PAS untuk melaksanakan ajaran Islam dan mengikut Perlembagaan Persekutuan akan dipersoalkan.

Kita lihat pemecatan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat setelah beliau dilantik oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ke jawatan itu bersama-sama Dr Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada 23 November 2021.

Mengikut kenyataan Tan Sri Abdul Hadi ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila pada 14 Januari 2022, pemecatan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berpunca daripada masalah disiplin.

Begitu juga di dalam kenyataan Tan Sri Abdul Hadi kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila pada 11 Februari 2022, pemecatan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS adalah berpunca daripada masalah disiplin.

Malangnya, tidak ada sebarang pernyataan rasmi dibuat oleh mana-mana pemimpin tertinggi PAS mengenai apakah bentuk pelanggaran disiplin yang telah dilakukan oleh Datuk Dr Mohd. Khairuddin menyebabkan timbul pelbagai spekulasi yang tidak sihat ke atas perkara ini.

Banyak pihak yang menyebut bahawa ada kemungkinan perlanggaran disiplin ini adalah membabitkan beberapa isu hangat yang pernah dimainkan di media sosial sewaktu Datuk Dr Mohd. Khairuddin menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dahulu.

Begitupun, pihak lain mempertikaikan perkara ini dengan menyatakan bahawa isu-isu hangat ini telah sedia ada di dalam pengetahuan pemimpin tertinggi PAS sewaktu Datuk Dr Mohd. Khairuddin dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 23 November 2021.

Kata pihak ini, jika isu-isu hangat sewaktu Datuk Dr Mohd. Khairuddin menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dahulu menjadi punca sebenarnya maka beliau tidak sepatutnya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 23 November 2021.

Apabila Datuk Dr Mohd. Khairuddin masih juga dilantik, maka pelanggaran disiplin ini sudah pastilah hanya melibatkan kenyataan atau perlakuan beliau antara tempoh beliau mula dilantik pada 23 November 2021 sehinggalah ke tarikh beliau dipecat pada 12 Januari 2022.

Disebabkan itulah banyak sekali andaian yang dibuat menyatakan bahawa punca sebenar Datuk Dr Mohd. Khairuddin dipecat adalah kerana peranan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS menjadi penggerak utama kepada Muzakarah Majlis Syura Ulama’ PAS.

Perlu diingat bahawa Muzakarah pada 29 Disember 2021 itu menghasilkan resolusi yang dikeluarkan atas nama Mursyidul ‘Am PAS, Datuk Hashim Jasin, yang menggesa supaya PAS memperkasakan Muafakat Nasional di samping mengekalkan Perikatan Nasional.

Turut diseru di dalam resolusi itu adalah supaya semua pihak menyuburkan semangat taawun siyasi dengan mengadakan pertemuan bersemuka serta bermusyawarah secara berterusan di samping mengelak dari menggunakan media terbuka untuk mengkritik pihak lain.

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa pihak yang paling kerap menggunakan media terbuka untuk mengkritik UMNO adalah Tan Sri Abdul Hadi sendiri, khususnya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila atau melalui kenyataan Facebook.

Bagaimanapun, andaian meluas bahawa punca sebenar Datuk Dr Mohd. Khairuddin dipecat adalah kerana beliau dikatakan bersifat pro-UMNO dan Muafakat Nasional dan anti-Perikatan Nasional telah dinafikan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Datuk Seri Takiyuddin malah dengan lantangnya mencabar sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan sedemikian supaya membuat kenyataan terbuka mengenainya supaya beliau boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dakwaan tersebut.

Meskipun begitu, cabaran Datuk Seri Takiyuddin ini langsung tidak menyelesaikan apa-apa masalah kerana diketahui umum bahawa perlanggaran disiplin ini tidak pernah dikemukakan untuk dibincangkan di mana-mana peringkat parti mengikut prosedur yang ditetapkan.

Mengikut Fasal 85 Perlembagaan PAS, perlanggaran disiplin oleh ahli hendaklah dikemukakan secara rasmi oleh sama ada PAS Negeri, PAS Kawasan, PAS Cawangan atau Dewan PAS kepada Setiausaha Agung PAS untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS.

Apabila dinyatakan bahawa Datuk Dr Mohd. Khairuddin telah melanggar disiplin sehingga dipecat dari jawatan beliau sedangkan beliau tidak pernah dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS maka ia adalah satu kezaliman dan bercanggah dengan Perlembagaan PAS.

Pemecatan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS juga terang-terang bercanggah dengan Fasal 8 (5) Perlembagaan PAS yang menyebut bahawa pemecatan Ahli-Ahli Majlis Syura Ulama’ berada di bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama’.

Sebab-sebab yang membolehkan Majlis Syura Ulama’ memecat sesiapa sahaja daripada menjadi Ahlinya juga bukan sebarangan kerana ia telah ditentukan oleh Fasal 8 (5) Perlembagaan PAS, khususnya yang melibatkan keadilan dan maruah seseorang Ahli.

Tegasnya, walaupun perlantikan Datuk Dr Mohd. Khairuddin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama’ dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk mewakilinya tetapi setelah dilantik maka Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak lagi mempunyai kuasa untuk memecat beliau.

Konsep undang-undang “the power to hire includes the power to fire”, atau pihak yang melantik mempunyai kuasa memecat, tidak terpakai dalam konteks ini bila kuasa memecat telah diperuntukkan dengan jelas oleh Perlembagaan PAS dipunyai oleh Majlis Syura Ulama’.

Malah, disebabkan kuasa memecat Ahli-Ahli dipunyai oleh Majlis Syura Ulama’ inilah maka pada tahun 2015 dahulu sekumpulan peguam liberal dalam PAS yang kini telah terkeluar dari PAS mahu meminda Perlembagaan PAS bagi memberikan kuasa ini kepada pihak melantik.

Alhamdulillah, cubaan songsang sekumpulan peguam liberal yang bermotifkan hasrat untuk membolehkan Majlis Syura Ulama’ dikuasai oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah gagal kerana ia cepat-cepat disedari, malah mereka sendiri akhirnya kalah dalam pemilihan.

Maka kini amatlah pelik bila cubaan songsang untuk membolehkan Majlis Syura Ulama’ dikuasai oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang telah ditolak oleh parti pada tahun 2015 dahulu sedang digunapakai oleh pihak tertentu walaupun ia tidak berperlembagaan.

Perlu diingat bahawa sebarang cubaan mana-mana pihak, walau hebat mana pun beliau, yang berada di luar daripada Majlis Syura Ulama’ untuk memberikan apa-apa tafsiran baru ke atas mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS sudah pastilah akan menemui kegagalan.

Ini kerana mengikut Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan PAS juga, hanya Majlis Syura Ulama’ yang diberi kuasa menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya.

Begitu juga Fasal 91 (1) Perlembagaan PAS yang memperuntukkan bahawa segala perkara yang berbangkit dan perselisihan faham dan pendapat di atas tafsiran Perlembagaan PAS hendaklah dirujukkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan keputusannya adalah muktamad.

Ketertinggian Majlis Syura Ulama’ juga terlihat di dalam Fasal 91 (2) Perlembagaan PAS yang memperuntukkan bahawa hanya Majlis Syura Ulama’ yang berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan dalam Perlembagaan PAS.

Ini berbeza dengan kedudukan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang hanyalah badan pelaksana kepada apa sahaja dasar yang telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’ sebagai badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan PAS bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS.

Sebab itulah di dalam Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS termaktub yang tugas Presiden PAS hanyalah “sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS mengikut dasar yang diperuntukkan Perlembagaan PAS dan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’”.

Inilah sebenarnya teras utama konsep kepimpinan ulama’ di dalam PAS, iaitu kepimpinan secara kolektif ulama’ di dalam Majlis Syura Ulama’, bukannya kepimpinan secara individu mana-mana ulama’ di dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, waima Presiden sekalipun.

Kepada ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin PAS yang benar-benar sayangkan parti ini, perjuangkanlah betul-betul ajaran Islam selaku dasar PAS dan pastikanlah segala tindakan yang dibuat oleh mana-mana badan di dalam parti ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Amat besar musibah yang bakal melanda PAS jika dibiarkan mana-mana pemimpin PAS menjadi “Napoleon Kecil” yang dengan angkuh dan bongkaknya mempergunakan mana-mana ulama’, waima Presiden, demi untuk menjaga kepentingan puak dan golongan mereka. – MalaysiaGazette

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.