KUANTAN – Seorang pekerja ladang sawit maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dan digilis bas selepas bergesel dengan sebuah kereta di KM 121 Jalan Kuantan – Johor Bharu, Rompin semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan berlaku di jalan yang tiada sejarah kemalangan sebelum ini.
Jelasnya semasa kejadian, kereta yang datang dari arah Kuantan ke Johor Bahru telah bergesel dengan motosikal yang ditunggang mangsa yang dari arah sama dan dalam lorong yang sama.
“Akibat pelanggaran, mangsa telah terbabas ke lorong bertentangan dan berlanggar dengan bas yang datang dari arah Johor Bahru ke Kuantan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan proses bedah siasat dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh,” katanya ketika dihubungi.
Kamarulzaman berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette